jeudi 2 avril 2015

Berang ditipu, 3 sekeluarga belasah ejen gores dan menang





Seremban: Berang selepas salah seorang ahli keluarga dipercayai ditipu sindiket ejen gores dan menang, tiga ahli keluarganya bertindak menyerang kumpulan sindiket berkenaan, Selasa lalu.



Difahamkan, pergaduhan berlaku di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Senawang, di sini, pada jam 3.45 petang menyebabkan beberapa mangsa mengalami kecederaan ringan di muka.



Kejadian pergaduhan berkenaan turut dirakam orang ramai yang berada di lokasi sebelum dimuat naik di laman sosial Facebook dan menjadi viral sejak petang kelmarin.



Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya sudah menahan reman enam lelaki berusia antara 19 hingga 29 tahun yang disyaki terbabit dalam pergaduhan itu.



Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kejadian itu berlaku akibat ahli keluarga tidak puas hati selepas tertipu dengan ejen gores dan menang lalu bersemuka dengan tiga ahli kumpulan itu.



“Berlaku pertengkaran dan pergaduhan antara dua kumpulan itu menyebabkan orang ramai yang berada di lokasi memaklumkan kepada polis yang tiba untuk meleraikan keadaan.



“Berikutan itu, tiga lelaki dipercayai ejen gores dan menang ditahan di lokasi kejadian. Susulan penahanan itu, tiga lagi lelaki iaitu ahli keluarga mangsa penipuan turut ditahan kira-kira jam 7 malam selepas diminta tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban,” katanya ketika dihubungi, semalam.



Muhamad Zaki berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.



Harian Metro mendapati gambar pergaduhan yang menjadi viral di Facebook itu memperoleh pelbagai reaksi dan cemuhan orang ramai yang kebanyakannya tidak berpuas hati dengan aktiviti penipuan dijalankan sindiket berkenaan.





- See more at: http://ift.tt/1ChrnFd




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire