Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengkritik pentadbiran Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dan mendakwa beliau gagal menyelesaikan isu air di Selangor.
Beliau berkata, tindakan Azmin yang melewatkan untuk memuktamadkan penstrukturan air menyebabkan pembinaan paip dari Sungai Pahang ke Loji Semenyih tergendala.
"Jika terus gagal menyelesaikan isu air, Selangor perlu pemimpin lain yang lebih layak, saya tidak berminat pun tetapi dewan perlu memikirkan kepimpinan baharu. Azmin perlu beri komitmen dan berhenti dari terus mempolitikkan isu air ini seperti mana titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Kenyataan Azmin mengaitkan isu hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan isu penstrukturan air Selangor juga tidak boleh digunakan sebagai alasan," katanya dalam Sidang Dun, hari ini.
Abdul Khalid menambah, kos pengambilalihan syarikat konsesi juga tidak boleh melebihi daripada RM 9.65 bilion dan kerajaan negeri mesti memastikan tiada kenaikan tarif air dalam tempoh tiga ke empat tahun selepas ini.
"Tempoh bulan madu sudah berakhir, berusahalah untuk hentikan politik dalam menentukan nasib rakyat.
"Kita mesti tunjukkan kepada mereka kesinambungan usaha kita seperti yang dijanjikan dalam pilihan raya lepas dapat kita lakukan," katanya.
Sebelum ini, Azmin mendakwa kerajaan pusat mahu tapak tanah syarikat konsesi air dipindah milik kepada PAAB dan mendakwa perkara itu tidak disenarai dalam perjanjian utama (Master of Agreement).
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire