BENJY dilanjutkan reman bagi membantu sisatan kes dadah di Mahkamah Majistret Muar, Johor, semalam. Utusan/Ishak Rahmad
MUAR 2 April – Perintah reman terhadap pelakon, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy dan rakannya yang ditahan kerana didakwa memiliki dadah di Pagoh, dekat sini pada minggu lalu dilanjutkan selama tujuh hari lagi.
Majistret, Muhammad Hidayat Wahab membenarkan reman terhadap Benjy dan rakannya yang berumur 27 tahun itu dilanjutkan hingga 8 April ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Penahanan mereka dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Benjy, 37, dan rakan lelakinya itu direman sejak diberkas polis pada pukul 1.40 pagi, 27 Mac lalu.
Semasa dibawa keluar dari mahkamah, Benjy yang memakai pakaian lokap warna jingga sempat tersenyum dan menunjukkan isyarat tangan 'keamanan' kepada pihak media sebelum menaiki van untuk dihantar ke penjara.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner (ACP) Azman Ayob berkata, pihaknya memohon lanjutan tempoh reman kerana siasatan terutamanya keputusan makmal melibatkan bahan kes masih belum selesai.
“Kita akan gunakan tempoh yang diberikan ini untuk melengkapkan kertas siasatan, sebelum menyerahkannya kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk proses pendakwaan,” katanya di sini hari ini.
Pada 27 Mac lalu, kedua-dua mereka ditahan polis semasa menaiki sebuah kereta dalam satu sekatan jalan raya di hadapan sebuah stesen minyak di Pagoh.
Dalam sekatan itu, pihak polis menemukan empat peket syabu dalam ruang di bahagian tempat letak kaki di tempat duduk belakang selain beberapa barangan yang disyaki untuk memproses dadah.
Yang turut ditemukan adalah empat botol kaca cecair mengandungi bahan kimia yang tertulis HmbG Chemicals, Bendosen Aceton, Bendosen Toluene dan Bendosen Calcium Chloride selain barang kelengkapan lain seperti alat penyuling, balang dan corong kaca, pengering serta dapur elektrik yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.
Tangkapan itu dibuat semasa Benjy masih dalam ikat jamin selepas dia buat kali ketiga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di ibu negara pada 10 Mac lalu bersama seorang rakan wanitanya atas tuduhan memiliki dadah.
Pada tarikh tersebut, pelakon tersebut bersama rakan wanitanya itu didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 9.33 gram serta dengan pengetahuan dan niat bersama didapati dalam kawalan mereka dadah jenis yang sama kira-kira seberat 3.4 gram.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di bilik Hainan, The Reeds Boutique Hotel, No. 9, Jalan Yap Ah Shak di sini, kira-kira pukul 9.30 malam, 5 Mac lalu.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire