TEMERLOH 2 April - Bukan mudah untuk bergelar seorang usahawan jika tiada kecekalan, ilmu dan pengalaman apatah lagi apabila terpaksa bermula daripada bawah.
Namun, Mohd. Napi Ismail, 60, membuktikan kebenaran pepatah Melayu ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ yang kini boleh berbangga dengan pencapaiannya selepas lebih 15 tahun menjalankan perniagaan produk madu lebah tualang asli dan produk berasaskan herba-herba tradisonal menerusi jenama King Honey.
Kisah kejayaan lelaki menetap di Taman Bukit Cermin, Mentakab di sini itu bermula pada hujung 1999 apabila dia mendaftarkan perniagaan madu lebah tualang yang pada awalnya di bawah nama Perniagaan Maju Waris.
Sebelum itu, bapa kepada enam anak berusia 26 hingga 35 tahun itu erpaksa merasa jerit perih untuk mengembangkan perniagaannya selepas terlibat dalam bidang tersebut sejak remaja.
“Lebih 15 tahun sebelum perniagaan ini didaftarkan, saya adalah pencari dan pembekal madu lebah. Saya menceburi bidang ini kerana mengetahui madu mempunyai pelbagai khasiat yang mana saya sendiri mengamalkan pengambilannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurut Mohd. Napi, dia yang melakukan pelbagai kerja untuk menampung kehidupan mula mencari madu pada usia 17 tahun sebagai pendapatan sampingan.
Bagaimanapun, katanya, pada penghujung 1990-an dia berdepan kesukaran untuk menjual manisan dihasilkan oleh lebah menggunakan nektar bunga itu berikutan ia mudah diperoleh sehingga berlaku lambakan di pasaran.
“Rakan-rakan pemungut madu tualang mencadangkan supaya saya menjual madu sepenuh masa. Ekoran itu, saya memutuskan untuk tidak lagi menjadi pemungut, tetapi menumpukan sepenuh perhatian kepada pemasaran dan jualan,” katanya.
Setelah mengambil keputusan tersebut, Mohd. Napi yang kadangkala ditemani isterinya, Khalijah Hassan, 59, aktif bergerak di sekitar daerah ini, Raub dan Kuantan sehingga ke ibu kota menjual madu asli di pasar malam serta pasar tani.
Ketika itu dia menjual madu lebah tualang yang dibekalkan oleh pencari dan pemungut madu dengan mengisinya ke dalam baldi sebelum dimasukkan ke dalam botol berdasarkan jumlah dikehendaki pelanggan.
“Boleh dikatakan saya bermula daripada kosong. Prospek jualan pada masa itu juga perlu bersaing dengan madu tiruan yang dijual pada harga jauh lebih murah.
“Pada masa itu juga, agak sukar untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perbezaan khasiat antara madu tulen dan tiruan. Jika tidak cekal dan kuat semangat, penjual madu asli tidak mampu bertahan,” katanya.
Katanya, dia mengorak langkah yang lebih jauh apabila bertekad meluaskan lagi perniagaannya secara lebih bersitematik dan tersusun dengan mendaftarkan perniagaan madu lebah tualang di bawah nama Perniagaan Maju Waris pada Disember 1999 menerusi Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
Nama perniagaan itu kemudian ditukarkan kepada Perniagaan Madu Laris pada penghujung tahun 2007 dan turut didaftarkan di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang membuka peluang kepadanya untuk menyertai kursus pembungkusan dan penjenamaan produk.
“Perniagaan ini bermula kecil-kecilan di negeri ini sebelum berkembang ke seluruh negara selain produk keluaran kami mendapat permintaan dari Singapura.
“Pada mulanya, kami hanya mengeluarkan sejenis produk sahaja iaitu madu lebah tualang, tetapi syukur Alhamdulillah dengan berkat usaha ia terus berkembang kepada beberapa produk,” ujarnya.
Bercerita lebih lanjut, Mohd. Napi berkata, permintaan yang semakin tinggi terhadap produk keluarannya menyebabkan dia menubuhkan sebuah kilang dikenali sebagai Napi Maju Jaya Enterprise pada Februari 2009 dan bertindak selaku Pengarah Urusan.
Katanya, kilang itu berfungsi sebagai pengeluar produk dan pembekal madu kepada syarikat-syarikat lain yang membeli manisan itu secara borong serta memasarkannya dengan jenama mereka sendiri.
Pada Jun 2012, katanya, syarikatnya beralih kepada Napi Maju Jaya Sdn. Bhd yang menyaksikan anak-anaknya terlibat secara langsung sekali gus menjadikannya sebagai perniagaan keluarga.
Ujar Mohd. Napi, dia bersyukur dan berterima kasih kerana perniagaannya mendapat sokongan kerajaan termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang membekalkan mesin pembungkusan, FAMA (mesin pengering) serta Kerajaan Negeri Pahang menyediakan pusat pemprosesan.
Sepanjang menjalankan perniagaan itu, katanya, dia menerima pelbagai anugerah antaranya Peserta Pasar Tani Terbaik Mengikut komoditi: Herba peringkat negeri oleh FAMA sempena Anugerah Pelancaran Pasar Tani Mega Pahang 2005 dan terbaharu Anugerah Usahawan Industri Asas Tani Peringkat Pahang pada tahun lepas.
“Perniagaan ini semakin berkembang apabila saya mula bergiat aktif di dalam ekspo-ekspo di seluruh negara anjuran FAMA, Kemas dan agensi-agensi kerajaan lain.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire